Zarudin, Azhar menangi pertandingan hias laman web, kenderaan
KUALA LUMPUR 27 Sept. - Paparan wajah sekumpulan kanak-kanak berlari riang sambil membawa Jalur Gemilang pada blognya telah menobatkan Zarudin Mansor sebagai pemenang utama Pertandingan Menghias Laman Web/Blog sempena Kempen Sayangi 1Malaysia dan Kibarkan Jalur Gemilang 2011.
Paparan imej pada muka hadapan blog Zarudin Photoblog (din-gallery.blogspot.com) ternyata telah mencuri perhatian panel juri pertandingan dan sekali gus membolehkan Zarudin dari Labuan membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM3,000.
Menurut Pengerusi Koperasi Utusan Melayu Malaysia Berhad, Mustafa Kamal Basri, penganjur menerima sambutan menggalakkan daripada para peserta untuk pertandingan itu walaupun ia pertama kali dianjurkan.
"Kita menerima sebanyak 400 penyertaan untuk pertandingan hiasan laman web dan 150 penyertaan untuk menghias kenderaan," katanya pada majlis mengumumkan pemenang pertandingan itu dan juga pemenang pertandingan menghias kenderaan di sini, hari ini.
Tempat kedua untuk kategori menghias laman web dimenangi oleh Abdul Azim Abdul Halim dari Ayer Keroh, Melaka menerusi laman webnya Pixie Studio (www.pixiestudio.com.my) yang membolehkannya membawa pulang wang tunai RM2,000.
Manakala tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM1,000 dimenangi oleh Muhammad Hafiz Baharuddin dari Kangar, Perlis menerusi laman web Sibintang (www.sibintang.com).
Sementara itu, tiga pemenang saguhati iaitu Tuan Nor Sidiq Tuan Ludin (www.cdiqlife.com); Nurnabilah Sulaiman (princessnabilahartwork.blogspot.com) dan Nurhazirah Ahmad Sabri(hahazirah.blogspot.com) masing-masing menerima RM300.
Bagi kategori menghias kenderaan pula, tempat pertama dengan hadiah wang tunai RM1,500 dimenangi oleh Azhar Ali dari Nibong Tebal, Pulau Pinang.
Tempat kedua dengan hadiah wang tunai RM1,000 dimenangi oleh Mohammad Rosli Idris dari Putrajaya, manakala tempat ketiga, Nur Hasliza Misnan dari Klang, Selangor sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM500.
Lima pemenang saguhati dengan hadiah wang tunai RM100 setiap seorang turut dipilih.
Mereka ialah Sheh Abdulccader Jailanee Othman dari Alor Gajah, Melaka; S.Danam Moorthy (Bahau, Negeri Sembilan); Nur Najibah Ahmad (Batang Kali, Selangor); Muhd. Aiman Saidi (Seberang Prai) dan Khairul Anuar Norani dari Alor Gajah, Melaka
Kedua-dua pertandingan anjuran Koperasi Utusan Melayu Malaysia Berhad dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta Utusan Online itu telah berlangsung mulai 1 Ogos hingga 18 September sempena sambutan Bulan Kemerdekaan.
Para pemenang akan dihubungi melalui panggilan telefon oleh urusetia penganjur dalam masa terdekat.
0 comments